Thursday, November 25, 2010

Pengenalan Ilmu Sejarah

Sejarah lisan mula mendapat tempat dalam pengajian sejarah pada hari ini kerana ia turut menyumbang kepada penambahan dari segi sumber sejarah. Sebagai seorang pengkaji yang akan membuat penulisan sejarah mengenai seorang tokoh penting negara, persiapan awal temubual adalah sesuatu perkara yang amat penting untuk disediakan.
Sebelum saya menghuraikan persiapan awal proses temubual, kita lihat takrif temubual. Menurut Mohd Amirrudin Bin Zakaria dan rakan-rakannya (2010), Temubual adalah satu perbualan antara orang yang mana seseorang itu mempunyai peranan sebagai penyelidik. Kebiasaannya, penemubual akan mempunyai satu set soalan bertulis yang berstruktur dan teratur (temubual berstruktur). Secara alternatifnya, soalan-soalan ini mungkin hanya digunakan sebagai satu catatan untuk mengingatkan penyelidik kepada maklumat penting yang perlu dikaji. Temubual juga akan memberikan pelbagai cabaran disebabkan oleh interaksi antara penemubual dan responden. Penemubual perlu mengemukakan soalan-soalan (samada dalam format berstruktur, separa struktur atau tidak berstruktur), mendengar (pengumpulan data) respon-respon dan mengemukakan soalan-soalan. Jika format temubual tidak tersusun, soalan hendaklah digubal semula. Penemubual mungkin tidak hanya mendengar kepada respon-respon berbentuk verbal tetapi juga melihat kepada elemen lain dalam proses temubual seperti gerak badan orang yang ditemubual. Walau apa pun cabaran-cabaran yang terlibat, temubual yang dikawal dengan baik adalah cara yang berkesan untuk mendapatkan data berdasarkan pandangan orang ramai, sikap dan makna-makna yang dapat mempengaruhi kehidupan dan kelakuan mereka.
Menurut Modul OUM HBSS3503 Pengenalan Ilmu Sejarah,(2007), Sebelum temubual diadakan, penemubual dikehendaki sentiasa membiasakan dengan sejarah dan karektor respondennya. Ini membolehkan penemubual mempunyai serba sedikit pengetahuan mengenai responden. Dalam usaha mengadakan temubual, amat perlu bagi kita mengikut beberapa kaedah yang diperlukan dalam proses temubual. Ia penting bagi membolehkan sesuatu temubual itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan serta memberikan hasil sebagaimana yang diperlukan dalam menulis sesuatu laporan atau peristiwa.


Mohd Amirrudin Bin Zakaria dan rakan-rakannya (2010), juga ada menerangkan 5 jenis temubual di dalam kajian beliau bersama rakan-rakannya iaitu :
Temubual boleh dibahagikan kepda 5 kategori:
 Temubual berstruktur.
 Temubual separa struktur.
 Temubual bebas.
 Temubual tertumpu.
 Temubual perbualan tak rasmi.
Kebiasaannya, temubual yang dilakukan oleh para pengkaji lebih mengikut struktur dengan menggunakan senarai-senarai soalan dan jawapan. Bentuk-bentuk soalan juga kebiasannya adalah dalam bentuk soalan ‘open-ended’ yang berbentuk soalan yang menggunakan perkataan ‘bagaimana’, ‘kenapa’ dan ‘apakah’.
Justeru, setelah kita mengetahui apa itu temubual, maka mari kita huraikan persoalan yang pertama yang berkaitan dengan persediaan awal sebelum melakukan temubual dengan responden. Berikut adalah langkah-langkah atau persediaan awal yang terbaik yang dapat kita lakukan sebagai seorang pengkaji sejarah untuk menemubual seorang tokoh negara.
1) Tentukan dahulu tajuk, skop tajuk dan isu yang akan dikaji. Contohnya jika kita memilih tajuk berkaitan dengan sejarah kemerdekaan, pastikan responden tersebut adalah antara mereka yang teribat di dalam peristiwa tercapainya kemerdekaan tersebut. Setelah tajuk yang sesuai dipilih, maka lihat pula pada skop tajuk yang akan dibincangkan samada menjurus kepada skop rundingan bersama British, perjuangan menentang Jepun dan sebagainya serta isu-isu yang berkaitan. Seterusnya baharulah kita memilih responden yang sesuai untuk ditemubual.
2) Setelah memilih responden tersebut, selidik serba sedikit tentang latar belakangnya. Bagaimana penglibatannya pada tajuk yang dipilih serta kesahihan penglibatannya terhadap peristiwa sejarah yang kita kaji.
3) Pengkaji perlulah menyediakan set-set soalan yang akan digunakan. Set-set soalan sebolehnya berbentuk ‘open-ended’ dengan menggunakan perkataan seperti ‘bagaimana’, ‘kenapakah’ dan ‘apakah’. Lebih memudahkan sekiranya penemubual menyatakan jumlah masa yang akan diambil supaya responden boleh bersedia dengan soalan yang akan diajukan. Contohnya penemubual telah menetapkan dua jam untuk menemubual maka, responden mungkin lebih bersedia dengan soalan-soalan tersebut. Terdapat juga penemubual yang memberikan set-set soalan terlebih dahulu kep[ada responden supaya responden lebih bersedia dengan soalan yang diajukan.
4) Sediakan dan hantar surat rasmi kepada responden untuk menyatakan tujuan kajian serta meminta persetujuannya. Setelah persetujuan diterima, tetapkan tarikh temu janji untuk proses temubual. Temujanji ya ng dibuat mestilah mengikut kehendak responden supaya beliau lebih selesa dan tidak tertekan. Contohnya di pejabatnya atau di kawasan yang selesa dan kondusif. Seeloknya, sertakan sekali set soalan bersama surat temu janji agar responden dapat bersedia dan proses menemubual dapat berjalan dengan lancar.
5) Uji peralatan yang akan digunakan dan pastikan ianya berfungsi. Seeloknya sediakan pita rakaman lebih dari satu supaya jika berlaku kerosakkan ianya tidak mengganggu proses temubual.
6) Berlatih menemubual sebelum melakukan yang betul. Ini bertujuan untuk menambahkan keyakinan kepada penemubual.
7) Pastikan temujanji sehari atau dua hari sebelum temubual supaya responden tidak terlupa dan pada hari yang ditetapkan, peruntukkan masa yang secukupnya untuk tiba di tempat yang dijanjikan.
8) Jalankan temubual dan rakaman di tempat yang sesuai seperti di tempat sunyi atau di dalam pejabat dan pastikan responden memahami tujuan temubual dilakukan.

Kesimpulannya, dalam usaha untuk menjalankan temubual untuk mengadakan sejarah lisan, terdapat banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti perkara-perkara yang disebutkan di atas. Persiapan awal yang baik dan terperinci akan membantu seseorang ahli sejarah menjalankan tugas menjalankan temubual dengan berkesan dan berhasil.



(B) Bincangkan etika yang harus ada pada diri anda ketika menjalankan temubual.
Kita telah pun mengetahui secara mendalam maksud temubual melalui soalan (a) di atas. Sebelum kita membincangkan etika yang perlu ada ketika proses temubual, mari kita lihat maksud etika itu sendiri. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, etika bermaksud prinsip moral atau nilai-nilai akhlak (adat sopan santun dan sebagainya) yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan manusia: ~ perubatan nilai dan garis panduan yg harus dipatuhi oleh para doktor dlm mengamalkan ilmu perubatan masing-masing. beretika mempunyai etika atau berpegang pd etika: Amalan yg tidak ~ itu mesti dihentikan segera.
Menurut modul OUM HBSS3503 Pengenalan Ilmu Sejarah,(2007), etika dan kaedah penyelidikan adalah perkara penting yang dapat memberikan panduan kepada para penyelidik menghasilkan penyelidikan yang berkesan. Antaranya ialah mempelajari apakah kategori bukti yang ada, elemen yang kritikal yang membezakan mereka dan apakah maknanya kepada penyelidik.
Chuah Kim Hwa dalam Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 6, (2005), menyatakan,
“…Pada dasarnya, pengumpulan data adalah berkaitan dengan amalan saya dan ini bukan merupakan dilemma yang saya hadapi. Dilema timbul semasa saya mengumpul data tentang jawapan yang diberi oleh partisipan dan jelas kelihatan partisipan kursus tidak berasa selesa. Ada di kalangan peserta kursus yang bersikap defensive semasa tembual terutama sekali bila soalan yang ditanya itu berkaitan dengan jawapan yang mereka hasilkan tentang PT. Ini jelas dari segi nada suara, air muka serta ketidakselesaan yang ditunjukkan dari segi body language. Saya mendapati temubual tersebut telah menceroboh ruang partisipan dan akhirnya saya berputus untuk menerangkan kepada peserta kursus kenapa saya menanya soalan. Saya juga menceritakan tentang interpretasi saya atas jawapan yang mereka beri.’
Setelah kita memahami makna etika dan kegunaanya maka dapat kita bincangkan di sini antara etika-etika yang perlu ada ketika proses menemubual ialah antaranya temubual haruslah dilakukan dalam bentuk berhemah dan tidak berunsur paksaan. Perkara asas yang utama ialah meminta kebenaran sebelum melakukan proses temubual. Ini ialah etika yang pertama harus dilaksanakan dengan bentuk yang berhemah agar kerjasama yang maksimum dapat diperolehi.sebaik-baiknya meminta kebenaran secara bertulis agar kebenaran tersebut dapat disimpan sebagai rekod.
Perkara kedua ialah etika di dalam penggunaan nama responden. Sebelum memulakan kajian penulisan sejarah, kita perlu pastikan samada responden membenarkan kita menggunakan namanya yang sebenar atau nama samaran. Ini penting sebagai rekod dan kebiasaannya, sesebuah kajian yang dilakukan tidak menggunakan nama sebenar tetapi sekadar nama samaran atau wujudkan sistem kod nama mudah seperti Doktor A, doktor B dan sebagainya. Ini penting agar mengelakkan kita menjatuhkan air muka responden apabila berkaitan dengan isu-isu sensitif dan sebagainya.
Ketiga, ketika mengadakan sesi temubual, seeloknya penemubual mestilah berpakaian kemas serta tidak menjolok mata yang mampu mengundang rasa tidak selesa responden. Kemas bermaksud jika penemubual itu lelaki, maka sesuainya memakai kemeja, berseluar panjang dan berkasut. Bagi penemubual perempuan pula seeloknya memakai baju kurung atau blaus yang labuh dan sesuai. Elakkan memakai pakaian jeans dan kemeja berkolar bulat serta bagi yang perempuan pula, elakkan pakaian yang menjolok mata. Etika berpakaian ini penting bagi menunjukkan kepada responden bahawa penemubual adalah seorang yang professional serta melakukan kajiannya dengan bersungguh-sungguh.
Perkara keempat pula ialah etika di dalam mengajukan soalan kepada responden. Mulakan soalan dengan soalan yang mudah dan menyenangkan sebelum ke soalan yang lebih mendalam dan sukar. Seterusnya, seboleh-boleh, ajukan soalan menurut susunan logical. Eloakkan soalan-soalan yang bercampur aduk kerana ia akan membuatkan responden kurang selesa dan tidak dapat menjawab dengan jawapan yang dikehendaki. Selain itu, antara perkara-perkara lain yang patut dielakkan semasa mengajukan soalan ialah ;
1. Elakkan munggunakan soalan yang panjang. Ini kerana akibat terlalu panjang ianya mungkin akan mengelirukan responden.
2. Kurangkan penggunaan ayat majmuk. Lebih sesuai jika ayat soalan tersebut dipecahkan kepada dua agar lebih mudah difahami.
3. Elakkkan menggunakan soalan yang mempunyai andaian tertentu (leading questions) contohnya: “Kenapa anda suka……”. Ini kerana ia mampu membuatkan responden kurang selesa dan memberikan jaawapan yang kabur.
4. Elakkan menggunakan soalan yang bias tanpa disedari. Seringkali soalan seperti ini akan melibatkan bias dari segi jantina.
5. Mulakan soalan dengan mudah seperti secara ringkas berkaitan biografi. Berhati-hati apabila mahu menyoal soalan berbentuk peribadi dan emosional. Jangan memulakan sesi temubual dengan menyoal soalan-soalan berbentuk ‘mengejutkan’.

Seterusnya, etika yang sesuai dapat diaplikasikan ialah dengan kebijaksanaan menggunakan Probes dan Prompts. Probes (siasatan) dapat digunakan apabila untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sesuatu perkara atau fakta. Contohnya, “Ada apa-apa yang anda perlu tambah berkenaan hal ini?” Prompts (galakan) pula digunakan apabila penemubual ingin member galakan serta membantu ingatan responden mengingati sesuatu fakta atau nama. Contoh penggunaan Prompt ialah “Ya, teruskan”, “Ya, saya faham”, dan sebagainya.
Seterusnya, antara etika-etika lain yang perlu ada ketika menjalankan sesi temubual ialah dengan memastikan hanya satu soalan ditanya pada satu-satu masa. Berikanlah masa yang secukupnya kepada responden untuk menjawab soalan yang diajukan. Selain itu, jadilah pendengar yang baik. Jangan menunjukkan bahasa badan (body language) yang tidak selesa seperti memandang kearah lain, mengetuk-ngetuk meja, menguap dan sebagainya. Gunakanlah bahasa badan yang sesuai seperti memandang kepada responden, mengangguk dan tersenyum bagi menggalakkan dan memberikan gambaran anda berminat.
Menurut modul OUM HBSS3503 Pengenalan Ilmu Sejarah,(2007), menyatakan beberapa etika yang sesuai digunakan ketika melakukan sesi temubual. Antaranya ialah;
1. Jika perlu, gunakan percakapan yang boleh menggalakkan sesi temubual seperti ‘Maklumat ini amat berguna” atau “Ianya sungguh menarik”. Bagaimanapun perlulah berhati-hati agar tidak mencelah dengan menggunakan bahasa-bahasa seperti “uh-huh”, atau sebagainya ketika responden sedang bercakap.
2. Tanyakan contoh yang terperinci jika responden member kenyataan umum yang mana perlu dijelaskan dengan lebih jelas seperti mengggunakan perkataan atau ayat seperti “Maaf, saya tidak faham, bolehkah diterangkan dengan lebih lanjut?”
3. Selitkan beberapa soalan mudah ( Cool of Period) untuk mengurangkan tekanan.
4. Sebagai penutup jangan lupa ucapkan terima kasih.

Kesimpulannya, etika ketika menjalankan sesi temubual amat penting bagi menggambarkan kesungguhan pengkaji atau penemubual pada kaca mata responden. Dengan menerapkan etika yang bertepatan, responden pastinya akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada penemubual. Selain itu, ia juga mampu membantu responden untuk memberikanm jawapan yang diingini serta menyakinkan responden dengan keupayaan mereka yang menemubualnya. Etika yang baik amat penting bagi mewujudkan suasana yang selesa kepada responden serta membantu belia mengingat perkara-perkara serta fakta penting.
Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa segala perbincangan berkaitan dengan etika di atas adalah bertujun membantu penemubual untuk mendapatkan kajian lisan dengan lebih mudah, tepat dan betul. Berurusan dengan manusia adalah berbeza apabila berurusan dengan benda bukan manusia seperti mesin dan haiwan. Etika yang baik melambangkan keperibadian penemubual seterusnya memperlihatkan kesungguhannya di dalam melakukan sesi temubual serta melaksanakan kajian sejarah lisannya.

















( C ) Huraikan bagaimana anda mengenalpasti keaslian sejarah lisan yang telah anda laksanakan.

UKM, Pusat Kajian Sejarah Lisan (2007), menyatakan Sejarah lisan adalah satu kaedah di mana kenang-kenangan seseorang tokoh yang dirakamkan secara temubual. Tokoh-tokoh yang dipilih biasanya terdiri daripada mereka yang dapat menyumbang maklumat bersejarah dari penglibatan dan pengalaman diri mereka sendiri, atau oleh kerana perhubungan mereka secara langsung dengan watak, masa atau peristiwa tertentu. Maklumat yang diperolehi dari temubual tersebut kemudiannya disalin dan salinan itu selepas disemak dan ditaip dapat digunakan sebagai bahan pengajaran dan penyelidikan.
Objektif dokumentasi sejarah lisan adalah untuk menghasilkan suatu dokumen lisan dari keterangan proto, keterangan saksimata atau tradisi lisan dalam bentuk rakaman atau transkrip. Tugas penemubual adalah membantu seseorang itu membuat penuturan dan analisis yang sebaik mungkin tentang peranan penting seseorang dalam tajuk yang dikaji. Objektif ini boleh dicapai melalui lima langkah utama:
a) Mengatur temubual dengan baik
b) Persediaan yang baik untuk temubual
c) Merakamkan temubual dengan baik
d) Menggunakan teknik temubual yang baik
e) Memproses rakaman mengikut kaedah yang tertentu.

Modul OUM HBSS3503 Pengenalan Ilmu Sejarah,(2007), menyatakan bahawa asas penting adalah kerana sejarah lisan bergantung kepada sumber yang diberikan oleh manusia, membolehkan kita mengimbau kembali cerita yang disampaikan. Sejarah lisan berasaskan percakapan dan bukannya sumber bertulis dan berpotensi menjadikan peristiwa itu berkembang. Walaupun dalam keadaan ketiadaaan dokumen bertulis, kumpulan seperti wanitas, minoriti dan yang tidak terkenal akan berusaha mencatatkan sejarah mereka dan sejarah yang mereka anggap penting. Sejarah tidak bermakna ia penting kepada kumpulan yang berkuasa, terkenal, kaya dan terpelajar sahaja. Sejarah itu mencatatkan peristiwa yang berlaku kepada masyarakat secara menyeluruh. Malahan ia sebenarnya dapat memberikan kita maklumat dan juga gambaran masa lampau dengan lebih tepat.
Menurut Bimo Adriawan (2010) di dalam penulisannya, terdapat empat tahap untuk mengenalpasti keaslian sesuatu penulisan sejarah lisan. Tahap yang pertama ialah tahap Heuristik (pencarian sumber). Tahap ini merupakan tahap pertama yang harus dilakukan dalam merekod masa lampau. Sumber-sumber itu tidak datang dengan sendirinya oleh itu, sumber harus dicari dan dikumpulkan. Ketika kita harus melakukan pencarian sumber, dalam pencarian sumber perlu diketahui mengenai jenis-jenis sumber. Sumber dapat dibahagi kepada dua bahagian iaitu sumber bertulis (dokumen, transkrip, surat, buku, Al-Quran), sumber benda (foto, makam, masjid), dan sumber lisan. Berdasarkan asal-usulnya, sumber dapat dibahagi menjadi tiga (dua yang utama), iaitu sumber primer (pelaku, saksi), sumber sekunder (orang yang tidak sezaman dengan peristiwa), dan sumber tersier (karya ilmiah). Berdasarkan sumber yang telah diperolehi, maka keaslian sejarah lisan tersebut dapat dikekalkan. Berdasarkan sumber yang diperolehi juga menunjukkan bahawa sejarah lisan tersebut adalah benar seperti yang diceritakan oleh responden.
Tahap yang kedua ialah Kritikan iaitu melihat kepada material sumber tersebut apakah sesuai dengan zamannya atau tidak, jika sesuai maka sumber tersebut kemungkinan besar merupakan sumber asli. Contohnya, jika sumber yang diperolehi tersebut adalah sesuai seperti barangan peninggalan sejarah yang terdapat di sesuatu tempat ataupun muzium, nama tempat yang betul dan sebagainya, maka dapatlah dikatakan bahawa kajian sejarah lisan tersebut adalah asli. Selain itu, kredibiliti pencerita juga perlu dinilai dan dilihat pada keseluruhan aspek. Pengkaji juga perlu melakukan triangulasi iaitu menemubual teman atau rakan kepada responden untuk mendapatkan kesahihan sumber dan fakta yang diberikan oleh responden. Jika temubual triangulasi ini menunjukkan kebenaran segala penceritaan yang disampaikan oleh responden pertama maka, kemungkinan besar sejarah lisan tersebut adalah asli.
Bimo Adriawan(2010) juga menyatakan tahap yang ketiga ialah interprestasi. Ianya merujuk kepada kronologi penceritaan sejarah lisan tersebut. Jika penceritaan yang disampaikan sememangya mengikut susunan kronologi dan bertepatan dengan peristiwa, maka sudah pasti peratus keaslian sejarah lisan tersebut adalah tinggi. Keaslian sesebuah sejarah lisan mungkin sedikit kabur jika susunan ceritanya tidak mengikut kronologi serta berterabur. Ini kebiasaannya akan mengelirukan fakta dan kesahihan cerita tersebut boleh dipertikaikan.
Tahap yang keempat menurut Bimo Adriawan ialah tahap historiografi. Pada peringkat ini ialah peringkat kepada penulisan sejarah lisan tersebut. Penulisan yang baik yang mempunyai fakta sejarah yang berkaitan, susunan peristiwa yang tepat dan berkaitan serta rujukan sumber yang boleh diterima memainkan peranan di dalam menerima karya tersebut sebagai asli. Sumber-sumber yang telah didapati merupakan sumber yang berkaitan dan mempunyai kekuatan di dalam menerangkan keaslian cerita tersebut. Maka secara keseluruhan dapat dikatakan jika sesebuah kajian sejarah lisan melalui keempat tahap ini maka dapatlah dikatakan bahawa kajian sejarah lisan tersebut adalah asli.
Menurut Modul OUM HBSS3503 Pengenalan Ilmu Sejarah,(2007), ahli sejarah bersetuju bagi menentukan ketepatan sumber maka bebarapa ujian atau ukuran perlu dilakukan. Sumber-sember akan dinilai dari empat perkara umum iaitu:
1) Aspek Biaografi. Nama-nama mereka yang terlibat akan diuji untuk memastikan adakah mereka benar-benar terlibat di dalam peristiwa tersebut. Sumber yang digunakan merupakan sumber yang berautoriti dalam sesuatu peristiwa yang dikaji. Ini bermaksud sumber yang terlibat adalah benar-benar berada pada peristiwa tersebut dan bukannya mendengar dari pihak lain. Selain itu, ujian juga penting di dalam menentukan rekod yang digunakan adalh merupakan rekod-rekod tulen yang mencatatkan peristiwa yang berkaitan.
2) Aspek Geografi. Ianya bertujuan menguji mengenai tempat berlakunya peristiwa yang ingin dikaji. Catatan sumber atau sumber yang dikaji mestilah merujuk kepada tempat yang benar-benar terlibat. Contohnya cerita raja bersiong yang mana tempatnya masih wujud di negeri Kedah di daerah Baling yang terdapat sebuah tempat yang bernama Siong. Catatan hikayat Merong Mahawangsa ada menceritakan sebahagian kawasan ini di mana kerajaan Merong Mahawangsa yang berasal di Kedah terdapat rajanya yang bersiong.
3) Aspek Kronologi. Ia juga memainkan peranan penting di dalam menentukan ketepatan sesebuah sumber. Seperti pendapat Bimo Adriawan, di dalam modul ini juga tempoh peristiwa mengikut kronologi dapat membantu sesebuah cerita itu adalah asli taupun bukan.
4) Aspek fungsional. Ia merujuk kepada sumber yang digunakan haruslah telah berfungsi pada ketika sesuatu peristiwa itu dikaji. Contohnya, apabila kita mengkaji dasar perang kerajaan British ketika Perang Dunia Kedua, sumber yang berfungsi sebenarnya ialah yang dikelarkan oleh Kabinet Britain dan jabatan-jabatan yang terlibat di bawahnya. Sumber selain itu dianggap tidak relevan.

Kesimpulannya, adalah amat penting untuk seseorang pengkaji mengambil langkah – langkah yang teliti sebelum memulakan kajian agar ianya adalah asli. Keaslian sesebuah karya sejarah lisan amat penting untuk dijadikan sejarah pada negara kita. Oleh itu semangnya bukan mudah untuk menulis sesebuah sejarah lisan. Pihak pengkaji haruslah mengambil semua faktor yang diterangkan di atas agar keaslian kajian sejarah lisannya terjamin dan diterima.





















KESIMPULAN
Akhirnya dapat disimpulkan di sini bahawa setelah saya menyiapkan tugasan ini, ianya banyak memberi pengetahuan yang baru kepada saya. Pertamanya, melalui tugasan ini, saya telah mempelaji cara-cara persiapan awal untuk menjalankan sesebuah temubual. Persiapan yang teliti dan terperinci dari awal banyak membantu pera penemubual untuk melaksanakan sesi temubual dengan jayanya. Persediaan yang rapi dan awal sedikit sebanyak membantu kedua belah pihak untuk melakukan proses temubual dengan lancar.
Kedua, melalui tugasaan ini juga banyak memberi pengetahuan kepada saya berkaitan dengan etika – etika yang perlu diamalkan ketika melakukan sesi temubual. Selain persediaan awal, etika ketika menemubual amat penting untuk mendapatkan mood responden serta kerjasama yang maksimum lantas proses tersebut akan menjadi lancar. Pasti untuk elakkan perkara-perkara negatif ketika temubual kerana ini akan mengundang rasa kurang selesa kepada responden. Amalkan etika yang terbaik dan positif di dalam melaksanakan sesebuah temubual.
Akhir sekali, sesebuah karya sejarah lisan adalah amat penting untuk diketahui keasliannya. Untuk mengetahui keaslian sesebuah sejarah lisan, terdapat beberapa aspek yang dinilai dan tahap yang perlu dilakukan oleh pengkaji. Apabila sumber-sumber sejarah lisan tersebut telah dinilai melalui empat aspek utama diikuti dengan pelaksaan tahap yang telah diterangkan di atas, maka dapatlah dikatakan bahawa sejaran lisan tersebut adalah asli. Sesungguhnya bukan mudah untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai, ibarat pepatah Melayu; Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

No comments: